Track rekod dia ialah pengkhianat – Najib

0
1

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan walaupun digelar penjenayah, namun beliau tidak mengkhianat dan menderhaka.

“Kalau dia nak kata gelarkan saya sebagai penjenayah sebab ianya bukan hak saya untuk sedekahkan RM42 juta dalam kes SRC, dipersilakan.

“Tapi perlu faham juga bahawa RM642 juta yang saya terima dari Kementerian Kewangan Arab Saudi terus ke akaun saya pun digunakan sepenuhnya untuk kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR), program rakyat melalui parti dan sebagai sedekah, bukan untuk penggunaan peribadi.

“Berapa yang kamu bagi kepada rakyat pula? Namun saya tak khianat dan tak derhaka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Hantaran itu dibuat selepas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengakui rela dianggap pengkhianat kerana mendedahkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Muhyiddin, kini terbukti perjuangannya benar apabila mahkamah telah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Najib atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International yang ada hubung kait dengan 1MDB.

Najib dalam hantarannya turut mempersoalkan mengenai pengkhianatan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad serta Pakatan Harapan (PH).

“Adakah dia khianat Pak Lah (Abdullah) sebab 1MDB? Dia khianat Pak Lah, dia naik dari Naib presiden menjadi TImbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri.

“Adakah dia khianat Mahathir dan PH sehingga kerajaan jatuh sebab 1MDB? Dia khianat Mahathir dan PH dan dia naik dari Menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri) menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan mengenai penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong berhubung Ordinan Darurat.

“Adakah dia derhaka pada YDP Agong sebab 1MDB? Dia derhaka pada YDP Agong dengan melawan titah bahawa ordinan darurat perlu didebat dalam Dewan Rakyat dalam cubaan untuk mengelak kalah undi ordinan dan dia hilang jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Sehingga YDP Agong dua kali zahirkan amat duka cita hanya sebab dia mahu kekalkan jawatan PM. Track rekod dia ialah pengkhianat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here