PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) akan dipermudah dan dipercepatkan lagi dengan pelaksanaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah.
Timbalan Menteri Kesihatan l, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata ketika ini pemberian vaksin kanak-kanak dilaksanakan di pelbagai PPV iaitu di hospital, klinik kesihatan, PPV Integrasi dan PPV off-site.
“Saya ingin mengumumkan satu lagi pendekatan yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memudah dan mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada murid sekolah rendah iaitu PPV Sekolah.
“Sukacita dimaklumkan pada masa ini, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah mengenalpasti 1,055 sekolah yang akan menjadi PPV kepada murid di sekolah tersebut dan murid sekolah berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C), berkata kesemua PPV Sekolah berkenaan akan mula beroperasi selewat-lewatnya 14 Februari ini di seluruh negara dan jumlahnya dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa.
“Bagi pemberian vaksin di sekolah, senarai nama kanak-kanak yang layak akan disediakan pihak sekolah dan akan dilaksanakan oleh pasukan kesihatan sekolah atau pengamal perubatan swasta.
“Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai aplikasi MySejahtera perlu mendaftar kanak-kanak sebagai tanggungan bagi mendapatkan janji temu dan sijil digital vaksinasi, manakala yang tiada akan dimaklumkan oleh pengurusan sekolah,” katanya.
Menurutnya, KPM juga bersetuju untuk membantu mengatur janji temu secara berkelompok untuk vaksinasi di sekolah atau PPV yang telah dikenalpasti.
“Sebagai langkah mengelakkan kesesakan di PPV, hanya salah seorang ibu atau bapa atau penjaga dibenarkan menemani kanak-kanak untuk vaksinasi.
“Ibu bapa dinasihatkan agar memastikan kanak-kanak yang akan divaksin mendapat rehat pada malam sebelumnya, bersarapan pagi dan minum air secukupnya sebelum ke PPV.
“Ibu bapa juga perlu mengawasi kanak-kanak supaya tidak melakukan aktiviti lasak bagi tempoh tujuh hari selepas menerima vaksin,” katanya. – Malaysiapost
Kredit: Facebook

