Tak boleh tangguhkan PRN Johor – PM

0
1

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak boleh ditangguhkan susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan dan tarikh pengundian juga sudah diumumkan.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata, satu-satunya kaedah menangguhkan PRN Johor adalah menerusi pengisytiharan darurat, yang mana ia tidak mungkin berlaku.

“Ia tidak boleh (tangguh PRN Johor). Hanya ada satu cara saja yang membolehkan tangguhkan PRN iaitu dengan mengadakan darurat. Itu saja kaedahnya.

“Apabila DUN sudah dibubarkan, butiran pilihan raya sudah diumumkan termasuk tarikhnya dan sebagainya, ia memang tidak boleh ditangguhkan.

“Kalau nak ditangguhkan hanya dengan mengumumkan darurat di seluruh Johor. Jika kita buat darurat, takkan Johor saja darurat, negeri lain tidak (darurat) kerana peningkatan kes berlaku seluruh negara.

“Saya sudah umumkan tiada lagi sekatan termasuk darurat akan dilakukan selepas ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Ledang, Tangkak, Johor hari ini yang turut dihadiri, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor berkuatkuasa 22 Januari lalu bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor, manakala penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here