SPR disaran laksana undi pos untuk rakyat Johor di luar negara

0
1
grafik

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) disaran melaksanakan pengundian pos bagi memudahkan rakyat Johor berada di luar negara mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin berkata SPR harus mengambil tahu bahawa sebagai negeri bersempadan antarabangsa, ribuan rakyat Johor menyeberangi Selat Tebrau ke Singapura setiap hari untuk bekerja, pendidikan, kediaman dan perniagaan lain.

Tambahan pula menurutnya, syarat kuarantin untuk pelancong luar negara mungkin menghalang ramai pengundi pulang kerana mereka mungkin perlu mengambil cuti sekurang-kurangnya seminggu atau lebih hanya untuk mematuh SOP tersebut.

“Oleh itu, SPR amat digalakkan mengunakan pengundian pos sebagai alternatif kepada pengundi melaksanakan hak dan kewajiban sivik mereka, dengan menubuhkan sekurang-kurangnya lima pusat pengumpulan undi di luar Malaysia untuk pengundi luar negara membuang undi mereka.

“Rakyat Johor di luar negara boleh mengundi di dalam peti undi terlebih dahulu dan kemudiannya kembali melalui beg diplomatik ke pusat mengundi masing-masing di Johor.

“Terdapat beribu-ribu rakyat Johor yang akan mendapat manfaat kerana mereka masih boleh menjalankan tugas mengundi sivik mereka semasa berada di seberang tambak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Maria juga menggesa SPR memberi kelonggaran cara berkempen pada PRN Johor kali ini.

“Mengundi tanpa mengetahui siapa calon atau parti mana yang bertanding akan menjadi satu tindakan yang sia-sia.

“Setiap pengundi berhak untuk dimaklumkan tentang latar belakang peserta, rekod prestasi dan manifesto mereka, untuk menjadikan undian mereka bermakna.

“Saya mencadangkan SPR dengan persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan perhimpunan kecil tidak lebih 30 individu pada satu-satu masa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here