KESEPAKATAN “electoral pact” yang dicapai antara Amanah, DAP dan MUDA pada 9 Februari lalu akan membawa harapan baru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Beliau berkata “electoral pact” itu merujuk kepada persefahaman antara parti-parti politik supaya tidak bertindih kerusi dalam pilihan raya walaupun tidak berada dalam gabungan politik sama secara rasmi.
“Malah Amanah, DAP dan MUDA telah mengambil langkah lebih besar apabila kami menyatakan kesediaan untuk menumpukan usaha bersama bagi memenangkan setiap calon Amanah, DAP dan MUDA serta bersama-sama menubuhkan kerajaan negeri Johor.
“DAP yakin pembentukan gabungan politik bersama rakan-rakan sehaluan merupakan cara paling berkesan untuk menyaingi gabungan politik lawan melalui kesan sinergi gabungan politik “coalition effect”,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Kelmarin menerusi kenyataan bersama ketiga-tiga parti, DAP dan Amanah memberi laluan kepada MUDA untuk bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor bulan depan.
Kerusi tersebut ialah DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.
Perkara itu dimuktamadkan hasil rundingan rasmi antara parti itu bersama DAP dan Amanah.
Menerusi kenyataan hari ini, ketiga-tiga parti menyatakan rundingan rasmi itu telah bersetuju dengan tiga matlamat utama, antara lain memastikan tiada pertindihan kerusi antara calon-calon mereka.
Selain itu, menumpukan usaha dan tenaga kerja jentera Amanah, DAP dan MUDA untuk memenangi setiap calon; dan bersama-sama menubuhkan kerajaan negeri Johor demi membantu rakyat mencapai impian mereka. – Malaysiapost

