TFC dakwa pemain nombor 14 Penang FC cetus pergaduhan

0
1

PENGURUSAN Terengganu FC (TFC) mendakwa seorang pemain Penang FC menjadi pencetus insiden pergaduhan sehingga perlawanan menentang TFC II di Stadium Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi hanya berlangsung 45 minit sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh berkata pemain Penang FC berkenaan yang memakai jersi nombor 14 telah menumbuk bahagian belakang seorang pemain TFC II sejurus sepakan penalti dalam aksi 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2022.

“Merujuk kepada maklumat pegawai bertugas serta video rakaman perlawanan, pergaduhan bermula pada minit ke-45 + 3 setelah pemain Penang FC tidak berjaya menyempurnakan sepakan penalti.

“Keadaan ini membuatkan para pemain TFC II meraikan kegagalan tersebut dan salah seorang pemain TFC II berjersi nombor 23 meraikannya di hadapan pemain Penang FC berjersi nombor 14 tanpa sebarang sentuhan dilakukan.

“Pemain Penang FC itu bertindak balas dengan menumbuk bahagian belakang pemain TFC II berjersi 23,” katanya menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebook TFC hari ini.

Sebelum kejadian, TFC II sedang mendahului lawan dengan satu gol.

Menurut Ab Rasid, keadaan bertambah kecoh apabila pemain Penang FC berjersi nombor 9 melakukan terjahan ke atas belakang badan seorang lagi pemain TFC II.

“Salah seorang pemain TFC II berjersi nombor 19 bertindak balas dengan turut melakukan terjahan ke atas pemain Penang FC berjersi nombor 9.

“Keadaan semakin tidak terkawal apabila berlaku pergelutan hampir kesemua pemain,” katanya.

Jelasnya, setelah hampir dileraikan, pemain TFC II yang dikejar dua pemain Penang FC bertindak balas dengan mempertahankan diri secara spontan menumbuk muka pemain Penang FC berjersi nombor 28 dan keadaan tersebut menyebabkan berlaku pendarahan di bahagian hidung pemain tersebut.

“Pihak pegawai keselamatan, pegawai pasukan serta pegawai perlawanan seterusnya berjaya mengawal kekecohan dan perlawanan separuh masa pertama ditamatkan dan kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan,” katanya.

Perlawanan berkesudahan dengan TFC II diberi kemenangan 3-0 berikutan keengganan Penang FC meneruskan perlawanan.

“Pihak pengurusan TFC serta penganjur kejohanan telah berjumpa bersama pengurusan Penang FC seterusnya memohon maaf atas apa yang terjadi melibatkan pergaduhan sesama pemain kedua-dua pasukan setelah tamat kejohanan.

“Pasukan Penang FC berangkat pulang ke hotel penginapan dalam keadaan terkawal sepenuhnya,” katanya.

Katanya lagi, pengurusan pasukan akan memanggil pemain yang terlibat dalam insiden tersebut serta pegawai pasukan TFC FC II untuk mendapatkan penjelasan penuh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here