
PELAKSANAAN Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu bagi jemaah mengerjakan ibadah umrah akan dikuatkuasakan bermula pada 14 Februari ini.
Susulan itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan memaklumkan jemaah-jemaah yang melaksanakan perjalanan mengerjakan umrah di dalam tempoh 8 Februari 2022 sehingga 13 Februari 2022 boleh mengguna pakai tatacara SOP sebelum ini.
Menurut MOTAC, penggunaan SOP baharu akan mula diterima pakai sebaik sahaja jemaah kembali semula ke Malaysia.
“Ini termasuklah menjalani kuarantin di rumah secara automatik kecuali yang memilih untuk kuarantin di pusat kuarantin swasta.
“Justeru, pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang mengatur sesi ‘Training for Trainers (TOT)’ dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada semua syarikat pengendali umrah yang berlesen di bawah MOTAC mengenai pemakaian SOP baharu ini.
“Mereka seterusnya bertanggungjawab untuk memberikan taklimat penerangan kepada jemaah di bawah kendalian mereka sebelum berlepas mengerjakan umrah,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Mesyuarat Ke-12 Menteri Kuartet Covid-19 bertarikh 8 Februari lalu telah bersetuju dengan pelaksanaan SOP baharu itu untuk aktiviti umrah.
Antara perkara-perkara penting di bawah SOP baharu ini adalah:
i) Syarikat pengendali umrah perlu melantik Person In Charge (PIC) bagi kumpulan yang mempunyai 40 jemaah dan ke atas untuk mengawal/mengelola jemaah sepanjang perjalanan termasuk semasa di lapangan terbang atau Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia.
Manakala bagi kumpulan yang kurang dari 40 jemaah, PIC perlu menguruskan jemaah di PMA. Tatacara pengurusan dan bagaimana untuk memohon kebenaran PIC untuk masuk ke ruang PMA di KLIA akan dimaklumkan kemudian melalui persatuan-persatuan pengendali umrah
ii. Mewajibkan dos penggalak
iii. Membenarkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan HQA. Tetapi jemaah dibenarkan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri.
Dalam pada itu, MOTAC mengucapkan selamat mengerjakan umrah kepada jemaah yang telah memulakan perjalanan dan yang bakal memulakan perjalanan umrah.
“Yang paling utama adalah untuk sentiasa mematuhi SOP-SOP yang ditetapkan kerajaan Malaysia dan Arab Saudi,” katanya. – Malaysiapost
