RUU Anti Lompat Parti mesti dilaksana segera – PH

0
1

PAKATAN Harapan (PH) mahu Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dilaksanakan segera seperti dipersefahami dalam Memorandum Persefahaman (MOU) antara kerajaan dan PH.

Majlis Presiden PH menerusi kenyataan berkata pihaknya mengambil maklum siri libat urus berhubung RUU Anti Lompat Parti bersama Ahli-Ahli Parlimen yang telah diadakan di Parlimen semalam.

“RUU Anti-Lompat Parti ini bertepatan dengan hasrat PH dan kerajaan seperti termaktub dalam Perkara 2.1, MOU antara Kerajaan dan PH.

“Perkara 2.4 menyatakan bahawa RUU ini perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac 2022,” katanya hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.

Pada 20 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan bersetuju membentang dan memuktamadkan RUU Anti Lompat Parti pada sidang Dewan Rakyat bermula 28 Februari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, keputusan itu juga selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu pindaan RUU berkenaan disegerakan dan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 tahun 2022. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here