Wan Saiful dicabar bongkar kepincangan pemimpin Umno

0
1

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razlan Rafii mengingatkan Bersatu bahawa isu yang dibangkitkan pemimpin Umno ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri adalah demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, perkara yang dibangkitkan itu menjadi bualan rakyat di media sosial dan kedai kopi, sekali gus tidak akan menjadi besar sekiranya tidak berasas.

Menurutnya, bermula dengan krisis ekonomi, pengurusan pandemik Covid-19 yang lemah, mendahulukan kelompok menteri dan paling teruk darurat dilaksanakan tanpa mengira kepentingan rakyat amat jelas hanya ingin menjaga kedudukan Perdana Menteri yang gagal.

“Boleh dikira Muhyddin bertemu rakyat di media, nak berjumpa wartawan pun tidak berani, bagaimana beliau nak mentadbir Kerajaan ketika itu. 

“Banyak sangat kelemahan sehingga keputusan-keputusan lockdown separa masak sehinggalah kepentingan syarikat diutamakan membawa begitu ramai nyawa kerkorban.

“Saya tidak nampak Wan Saiful ada modal lain selain mahu bermain emosi rakyat, menggunakan mahkamah sebagai alasan untuk menutup kedangkalan dan kelemahan Muhyddin dan Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, memberi amaran akan mendedahkan kepincangan dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) susulan serangan berterusan parti itu terhadap pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, PN juga boleh mendedahkan pelbagai kepincangan yang dilakukan pemimpin Umno semasa memerintah negara dahulu atau yang cuba dilakukan pemimpin parti itu ketika ini.

Wan Saiful berkata, Umno semakin terdesak kerana dipimpin oleh ‘kluster mahkamah’.

Sementara itu, Razlan berkata ramai pemimpin Bersatu sudah tidak percaya kepada Presiden dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta kepimpinan yang lain kerana tidak ada karisma dan hanya menjadi ‘pak lawak’ dalam politik.

“Sudahlah Wan Saiful, sekira asasnya berpaksikan kepada rakyat, bongkar sahaja, jangan jadi bacul, ikut resam untuk membela rakyat, bukan membela tembolok kroni yang akhirnya rakyat akan mati kelaparan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here