PERIKATAN Nasional (PN) akan meletakkan calon di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Setiausaha Badan Perhubungan PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam kenyataan, berkata semua kerusi itu melibatkan komponen parti termasuk Bersatu, PAS dan GERAKAN.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menyempurnakan mesyuarat khas dan memutuskan PRN Johor Ke-15 perlu diadakan bagi mengisi kekosongan 56 kerusi DUN.
“Dengan pengumuman tarikh penting tersebut, PN Negeri Johor akan meneruskan dan memperkasakan gerak kerja jentera bagi menghadapi pilihan raya ini.
“Sebagai menghormati sistem Demokrasi Berparlimen, Bersatu bersama PAS dan GERAKAN sebagai anggota parti Perikatan Nasional akan meletakkan calon di semua kerusi yang dipertandingkan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, SPR menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, manakala hari penamaan calon pula jatuh pada 26 Februari dan tarikh untuk pengundi awal ditetapkan pada 8 Mac. – Malaysiapost

