Kerajaan setuju beri subsidi kepada penternak ayam, telur

0
1

JEMAAH Menteri hari ini bersetuju memberi subsidi kepada penternak ayam sebanyak 60 sen/kg dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90/kg dan harga runcit ayam bulat standard RM8.90/kg.

Manakala bagi telur, Jemaah Menteri juga bersetuju memberi subsidi sebanyak 5 sen/biji untuk semua jenis kategori.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Ronald Kiandee berkata tujuan pemberian subsidi adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutama kos makanan yang meliputi 70% dari kos pengeluaran.

Selain itu katanya penternak terbeban dengan kos logistik, pekerja, utiliti dan ubat-ubatan.

“Tempoh pemberian subsidi adalah mulai 5 Februari hingga 4 Jun 2022 iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

“Anggaran keseluruhan implikasi kewangan kepada kerajaan bagi melaksanakan pemberian subsidi ayam dan telur di seluruh negara untuk tempoh empat bulan ini adalah RM528.52 juta,” katanya menerusi kenyataan.

Ronald berkata kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) juga akan mengadakan sesi libat urus berterusan dengan pihak industri untuk memastikan industri ayam dan telur terus kekal mampan.

Selain menurutnya, ia bagi membolehkan pihak industri beroperasi dalam skala penuh dalam memastikan pengeluaran ayam dan telur di ladang mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan.

“MAFI berharap langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak dapat menstabilkan kembali bekalan sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga berpatutan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here