Umno kecam Hadi kerana cemburu muzakarah Bersatu-PAS – Wan Saiful

0
1
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan

KEJAYAAN Bersatu dan PAS mengadakan muzakarah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor didakwa punca Umno mengalihkan sasarannya untuk mengecam Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata Umno mencemburui kejayaan muzakarah tersebut lantas menyasarkan pembunuhan karakter terhadap Presiden PAS.

Katanya, ia sebagaimana yang mereka lakukan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Umno semakin terdesak kerana dipimpin oleh kluster mahkamah. Strategi mereka ialah untuk membunuh karakter Presiden Bersatu dengan pelbagai tohmahan bagi menidakkan kejayaan beliau mentadbir negara ketika menjadi Perdana Menteri.

“Terkini, mereka juga seperti mahu membunuh karakter Presiden PAS, Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Mungkin segelintir mereka di dalam Umno cemburu melihat kejayaan Muzakarah Bersatu-PAS minggu lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Wan Saiful juga membidas strategi ‘kluster mahkamah’ dalam Umno yang semakin menguji kesabaran Bersatu ketika ini.

“Kita semua mesti pastikan usaha kluster mahkamah dalam Umno ini tidak berjaya. Mula-mula Umno ‘target’ Tan Sri Muhyiddin, kini dah melarat kepada Tuan Guru Haji Hadi pula.

“Saya nak bagi amaran kepada kawan-kawan dalam Umno, kesabaran kita ini ada hadnya. Jangan nak uji yang bukan-bukan.

“Kita boleh dedahkan pelbagai perkara membabitkan kepincangan yang dilakukan pemimpin-pemimpin Umno semasa mereka memerintah dahulu,” katanya.

Hubungan Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) bagai retak menunggu belah dengan beberapa siri kenyataan para pemimpin PAS yang mengecam Umno susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, bulan lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here