UMNO perlu memanfaatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk menampilkan bakat baharu yang menjadi cerminan masa depan parti itu supaya lebih diyakini rakyat.
Exco Pemuda Umno, Noor Azleen Ambros, berkata pendekatan itu boleh digunapakai sebagai strategi jangka panjang untuk parti mendepani cabaran serta perubahan landskap politik.
“Ini sekali gus dapat menepis dakwaan yang kononnya Umno ini dikawal oleh kelompok atau kumpulan tertentu.
“Lebih-lebih lagi apabila banyak pihak yang mendakwa kononya PRN Johor sengaja diadakan untuk memenuhi agenda politik peribadi ‘kluster mahkamah’ yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin utama parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang berkata, Umno tidak lagi mampu bersandar kepada retorik perjuangan politik bangsa dan agama semata-mata untuk terus meyakinkan rakyat dan pengundi.
“Umno perlu membuka peluang kepada bakat-bakat yang mampu menjadikan Umno sebuah parti politik yang bukan sahaja peka, malah efektif dan berkesan membawa perubahan kepada dasar-dasar awam penting yang memberikan kesan langsung kepada rakyat.
“Seiring dengan pelaksanaan Undi18, Umno perlu mengambil langkah berani untuk memikat hati dan minda pengundi anak muda,” katanya.
Justeru, katanya, Umno wajar membuka peluang kepada bakat-bakat baharu untuk membina kewibawaan dalam memperjuangkan isu-isu yang dekat kepada keperluan anak muda.
“Ia termasuk peluang pekerjaan berkualiti, ketahapmampuan untuk memiliki rumah dan juga beberapa aspek yang menyentuh mengenai kualiti hidup.
“Bakat-bakat baharu dalam Umno ini juga perlu berperanan membina kredibiliti parti dalam memperjuangkan isu-isu yang lebih besar dan bersifat universal,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, PRN Johor kali wajar dimanfaatkan Umno bagi menambat keyakinan pengundi, sekali gus membuktikan bahawa parti itu mampu dan bakal berubah. – Malaysiapost

