SPRM tak terima aduan Pengarah Eksekutif MARA Corp guna kad kredit

0
1

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menerima sebarang aduan berhubung dakwaan salah laku melibatkan Pengarah Eksekutif Mara Corporation (MARA Corp), Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Ia berhubung dakwaan penggunaan kad kredit korporat syarikat itu oleh Suhaili yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu merangkap Pengerusi Bersatu Labuan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya hanya akan bertindak jika ada laporan dibuat namun setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenainya, lapor Berita Harian.

“Kena seseorang buat laporan kepada kita. Setakat ini, kita tidak terima laporan apa-apa lagi. Kalau ada pihak buat laporan kepada polis, terpulang. (Itu) saya tak tahu.

“Fokus saya hari ini ialah (dakwaan) salah guna kuasa (oleh lima pegawai kanan MARA) iaitu menggunakan kedudukan untuk mendapatkan elaun yang tidak sepatutnya dapat,” katanya.

Semalam sebuah portal melaporkan seorang daripada lima pegawai MARA berkenaan membuat laporan mendakwa Suhaili menggunakan kad kredit MARA Corp untuk tujuan peribadi.

Suhaili bagaimanapun menafikannya dan meminta pihak yang membuat dakwaan supaya mengemukakan bukti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here