Hati-hati gerak kerja fitnah ala PRU14 – Zahid

0
1

UMNO mengingatkan pengundi Johor supaya berhati-hati dengan ‘gerak kerja fitnah’ ala Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang diulangi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata modus operandi sama digunakan dengan menjadikan pimpinan Barisan Nasional (BN) sebagai sasaran persepsi untuk menghasut rakyat kepada politik kebencian.

“Daripada fitnah berhubung teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Genting Hong Kong, dadah sehingga kepada propaganda botol minuman.

“Percayalah itu cuma mukadimah. Tentunya rakyat khususnya Bangsa Johor akan dihidangkan dengan lebih banyak fitnah dan propaganda jahat.

“Namun mungkin ada hikmah di sebaliknya kali ini kerana menjadi bukti nyata nilai politik sebenar mereka yang menghembuskan penipuan dan pembohongan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid berkata rakyat kini dapat mengetahui dan memahami dengan lebih jelas yang mana intan atau kaca serta yang mana kebenaran dan kebatilan.

“Dan tidaklah mereka itu hirau tiada keberkatan menang dengan fitnah dan pembohongan. Lihatlah kekalutan pentadbiran mereka apabila diberi kuasa.

“Tidak mereka peduli kesan buruk politik fitnah dan adu domba terhadap rakyat dan negara demi memuaskan serakah dan kesumat. Mereka akan bergerak dengan “full throttle” untuk PRN Johor kerana begitu terdesak untuk menyekat kemaraan BN.

“Bagi mereka BN bangkit di Johor bermaksud kebangkitan BN sudah tidak mampu dihalang. Justeru mereka akan lakukan apa sahaja. “By hook or by crook” tanpa menghiraukan halal atau haram, sama seperti PRU14 mereka akan berusaha menamatkan kemaraan BN,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun berkata muslihat parti lawan pastinya gagal sekiranya Bangsa Johor berbilang kaum dan agama bertekad untuk bermuafakat.

“Johor bermuafakat untuk mengembalikan kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan lalu yang telah dirampas oleh fitnah dan tipu daya pada 9 Mei 2018,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here