Siapsiaga depani ancaman siber kompleks – Annuar

0
1

MASYARAKAT hendaklah sentiasa bersiap siaga dalam mendepani ancaman dan serangan siber yang semakin berleluasa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, evolusi teknologi digital sememangnya membantu serta memudahkan urusan kehidupan, namun kesiapsiagaan isu-isu keselamatan siber di Malaysia juga perlu diutamakan.

“Justeru, sebagai Keluarga Malaysia yang prihatin dan bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama membina komuniti digital yang berdaya tahan serta berupaya bertindak secara berilmu, adil dan progresif ke arah kesejahteraan siber.

“Saya juga ingin menggesa seluruh Keluarga Malaysia bersama-sama membulatkan tekad untuk menjadi warga digital yang beretika dan berintegriti dalam mendepani ancaman siber yang semakin kompleks,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Keselamatan Internet 2022, hari ini.

Dalam pada itu, Annuar berkata, Hari Keselamatan Internet atau ‘Safer Internet Day’ (SID) merupakan satu sambutan global yang diraikan pada Februari setiap tahun.

“Pada tahun ini, Hari Keselamatan Internet peringkat global adalah pada 8 Februari 2022 (Selasa) bertemakan ‘Together for a Better Internet’.

“Semenjak mula diraikan pada tahun 2004 oleh Insafe Brussels, sebuah rangkaian Safer Internet Centres dengan sokongan Suruhanjaya Eropah, kini lebih 200 buah negara meraikan sambutan ini,” katanya.

Beliau berkata, sambutan itu dengan objektif mendidik serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan Internet.

Katanya, ia bagi memastikan mereka menjadi lebih beretika dan bertanggungjawab sewaktu menggunakan teknologi, Internet dan aplikasinya serta peranti digital.

“Di Malaysia, Hari Keselamatan Internet – Edisi Malaysia bermula pada tahun 2010.

“Pelbagai tema diperkenalkan berdasarkan senario siber semasa yang disesuaikan mengikut trend ancaman dan isu-isu keselamatan siber di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, pada tahun ini, tema Hari Keselamatan Internet 2022 – Edisi Malaysia ialah ‘KITA Siber’ bermaksud K – Komunikasi; I – Inklusif: T – Tanggungjawab dan A – Akrab.

“Melalui tema ini, penekanan diberi secara konsisten kepada langkah-langkah membentuk sikap kawalan kendiri serta kebertanggungjawaban ke atas diri sendiri serta orang lain bagi membentuk komuniti digital Keluarga Malaysia yang sejahtera lagi progresif,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here