Azmin janji tiada lagi ‘total lockdown’

0
1

TIADA lagi ‘total lockdown’ walaupun negara berdepan peningkatan kes Covid-19, kata Menteri Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin berkata, total lockdown tidak boleh dilaksanakan semula kerana akan memberi kesan amat besar terhadap ekonomi rakyat dan negara.

Katanya, pendirian kerajaan berhubung perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada MITI semalam, dan sebarang keputusan kini mestilah mengikut data dan sains.

“Mungkin pada peringkat awal dulu, kita tiada pengalaman dan tidak cukup data untuk bertindak. Namun sekarang sudah dua tahun. Kita tidak boleh tanggung untuk melaksanakan ‘total lockdown’.

“Kesannya terhadap pekerjaan amat besar. Dalam tempoh tiga bulan pertama kita melaksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) penuh pada 2020, kadar pengangguran naik kepada 5.3 peratus dengan kira-kira 826,000 orang hilang pekerjaan.

“Apabila seorang pekerja hilang pekerjaan, kesannya akan turut membabitkan sebuah keluarganya yang mungkin ada empat atau lima orang.

“Jika didarab, hampir 5 juta rakyat Malaysia tiada pendapatan dan tidak mampu meletakkan makanan di atas meja untuk keluarga mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19, kerajaan akan mengambil pendekatan menangani secara bersasar.

“Pandemik adalah sesuatu yang perlu kita uruskan dengan efektif. Bagi soal kesihatan, kita akan usahakan yang terbaik. Namun, aspek kesihatan ekonomi juga penting. Inilah tanggungjawab kita untuk memastikan keseimbangan,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan kes jangkitan Covid-19 boleh mencecah sehingga 22,000 sehari menjelang akhir Mac ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here