DAP mengumumkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, Eric We Chin Li akan mempertahankan kerusi tersebut bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata pihaknya memilih Pembantu Setiausaha Organisasi Dapsy itu kerana beliau sebelum ini penyandang kerusi DUN berkenaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Katanya lagi, sikap rendah diri, selalu melawat kawasan dan memberi perkhidmatan cemerlang antara sebab DAP memilih Chin Li untuk bertanding di kerusi DUN itu.
“Hari ini (semalam) saya bersama rakan-rakan seperjuangan di Tangkak untuk makan tengah hari bersama akar umbi dan mengumumkan calon PH DUN Tangkak, Ee Chin Li
“Chin Li merupakan penyandang kerusi DUN ini. Beliau memang sudah dikenali dengan sikap rendah diri, budaya turun padang dan perkhidmatan mantap kepada rakyat setempat,” katanya.
Sementara itu, Guan Eng turut meminta rakyat Johor memberi sokongan kepada PH yang disifatkan dapat menyelesaikan masalah dan tidak rakus kuasa.
“Umno-BN-PN dapat kuasa, apa rakyat dapat? Di bawah kerajaan ini, rakyat dapat kenaikan harga barang, pandemik Covid-19 yang tidak dapat dibendung, kemerosotan ekonomi yang memberi kesan kepada kehidupan dan mata pencarian.
“Sokong PH demi mengutamakan rakyat agar masalah rakyat dapat diselesaikan dan bukan biarkan orang politik merakus kuasa semata-mata. Ayuh Johor Bangkit untuk sebuah kerajaan berjiwa rakyat,” katanya.
Pada PRU14, Chin Li menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Goh Tee Tee, dengan majoriti 5,077 undi.
Setakat ini, DAP telah mengumumkan empat calon termnasuk di Tangkak iaitu untuk kerusi DUN Paloh, Mengkibol dan Penggaram. – Malaysiapost

