Bersatu-MUDA jalin kerjasama di PRN Johor?

0
1
Kredit: PN BBC Portal

TIDAK mustahil kerjasama Bersatu dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan dibentuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, ini kerana kedua-dua parti itu dikatakan mempunyai matlamat sama iaitu menafikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada membentuk kerajaan negeri baharu, lapor Utusan Malaysia

“Benar, MUDA ada memberi saingan dalam pengundi-pengundi baharu khususnya berumur 18 tahun. Ini memberi satu cabaran kepada kami di peringkat sayap pemuda Bersatu dan PN untuk bekerja lebih keras.

“Bagaimanapun saya yakin MUDA punya kekuatan lebih kepada untuk mengambil pengundi yang menyokong Pakatan Harapan (PH), manakala kami pula berentap dengan UMNO untuk memenangi hati dan jiwa pengundi muda di kawasan Melayu atau Bumiputera.

“Jadi, Insya-Allah, kita sebenarnya tidaklah bertentang sangat, malah MUDA kalau mereka boleh nafikan pengundi BN di kawasan-kawasan tertentu, begitu juga. Kita ada common goal is to deny BN win in Johor,” katanya ketika ditemui di sini.

MUDA yang dipimpin bekas Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan sedang berunding untuk menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Johor.

Bersatu pula setakat ini akan bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN) yang turut membabitkan gabungan dengan PAS dan GERAKAN.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here