KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir menempelak pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kerana tidak habis-habis ‘bergaduh’ ketika rakyat terus tersepit dengan isu ekonomi dan kenaikan harga barang.
Malah Ahli Parlimen Johor Bahru itu menegaskan, pertelingkahan serta perebutan kuasa antara pemimpin yang terbabit menyebabkan rakyat Johor terpaksa berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Apabila sesama mereka gagal menguruskan negara, mereka sembang pasal siapa patut jadi poster boy antara Zahid Hamidi, Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang.
“Sedangkan isu sebenar yang dihadapi rakyat dipandang sepi dan disenyapkan. Ternyata perebutan kuasa mereka memaksa orang Johor ke PRN.
“Namun, daripada kita terikut percaturan mereka, kita perlu cari jalan untuk angkat isu yang sebenar,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Akmal berkata tumpuan kini seharusnya diberikan kepada usaha meningkatkan ekonomi, menangani kesempitan hidup rakyat serta harga barang.
Sementara itu beliau memaklumkan jentera AMK bagi menghadapi PRN Johor akan dilancarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. – Malaysiapost

