KERAJAAN Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8 sekilogram di semua premis jualan di bawah seliaan PKPS bermula Isnin ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu bagi memastikan rakyat Selangor terus mendapat akses secukupnya kepada ayam segar berkualiti pada harga berpatutan.
Katanya, bagi membantu mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan, kerajaan negeri menerusi PKPS memperuntuk dana RM1 juta untuk Program Intervensi Harga Makanan Ehsan.
“Ini sebagai sebahagian usaha kerajaan negeri untuk memastikan harga barang makanan segar di Selangor terkawal sehingga musim perayaan nanti.
“Program ini akan meliputi kos subsidi, pengurangan sewa dan bantuan logistik kepada rantaian bekalan yang strategik untuk mengawal harga barang makanan khususnya produk segar.
“Sebanyak 50,000 ekor ayam standard akan diperuntukkan bagi kempen harga jualan itu untuk tempoh dua minggu bermula Isnin ini,” katanya hari ini.
Amirudin berkata ayam Standard Ehsan PKPS boleh didapati pada harga tersebut di dua premis jualan utama iaitu di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dan Outlet PKPS, Seksyen 14, Shah Alam.
Beliau juga memaklumkan pembelian terhad kepada dua ekor setiap pembeli.
“Semoga ikhtiar ini memberi manfaat kepada rakyat di Selangor di saat kenaikan harga barang yang membebankan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

