SEJAK semalam tular di media sosial memaparkan dua kenderaan terbabit dalam kemalangan dipercayai kerana memberi laluan kepada orang kenamaan atau ‘VIP’
Menerusi video dimuat naik di Twitter, dilihat sebuah Perodua Kelisa melanggar belakang Proton Wira yang berhenti secara mengejut selepas diminta untuk berhenti bagi memberi laluan kepada kenderaan VIP.
Dalam video itu juga, kelihatan kereta jenis Mercedes berwarna hitam dipercayai dimiliki ‘orang ternama’ itu melalui kawasan kejadian tersebut bersama beberapa kenderaan lain didakwa pengiringnya.
Susulan itu, warganet meluahkan rasa marah dan geram melihat ‘orang kenamaan’ termasuk polis pengiring tidak mengambil endah mahupun memberi bantuan kepada mangsa kemalangan tersebut.
Pengguna @Rafi_Addin berkata tidak sepatutnya pihak terbabit membiar mangsa kemalangan itu kerana ia tanggungjawab mereka kerana kejadian itu berlaku adalah berpunca daripada kecuaian mereka juga.
“VIP dgn polis buat tak tahu je tengok ada kemalangan depan mata yang berpunca daripada dia orang.
“‘Common sense’ bro. Angin aku tengok dia orang rilek je lalu macam tak ada apa-apa berlaku kat situ,” katanya.
Manakala Pengguna @HyeonjuMy menganggap tindakan polis pengiring sebagai tidak peka kerana memberhentikan kereta yang sedang laju.
“Lagi tak cerdik dia orang blah macam tu je. Tak boleh saman ke dia orang ni. Jika ada kehilangan nyawa, dia (VIP) salah kan?,” katanya. – Malaysiapost

