Aiman Hanif
UMNO lebih setahun telah membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin agak terlewat membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Umno.
“Kalau itu pendirian beliau (Muhyiddin)…Umno pun tak pernah pun cakap nak bersama PPBM (Bersatu). Bahkan Umno lebih awal cakap tak nak bersama PPBM.
“Mungkin dia (Muhyiddin) lewat setahun (membuat ketetapan). Kalau itu pendiriannya senang sikit,” katanya ketika ditemui di Johor Bahru, hari ini.
Semalam dalam satu kenyataan, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan partinya telah membuat keputusan tidak menyertai Muafakat Nasional (MN), gabungan Umno dan PAS.
Beliau berkata, ada hikmah Bersatu tidak bekerjasama dengan Umno, oleh itu partinya tidak terpalit dengan masalah moral yang membelenggu pemimpin Umno.
“Saya sudah lupakan Muafakat Nasional. Tak perlu diungkit-ungkit lagi.
“Bersatu telah buat keputusan untuk tidak menyertai Muafakat Nasional.
“Umno pun telah buat keputusan dalam Perhimpunan Agungnya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu. Jadi apa lagi yang hendak diungkit?,”katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai serangan pemimpin Bersatu terhadap Umno menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Shahril berkata, terpulang kepada Bersatu jika mereka berasakan menyerang Umno sebagai satu strategi.
“Mungkin kepada mereka, antara strategi mereka menyerang Umno.
“(Bagaimana pun) Umno selesa dengan pendekatan tarik sokongan pengundi atas pagar,” katanya. – Malaysiapost

