PERBALAHAN isu dakwaan Umno dikhianati Bersatu sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah antara dua bekas Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kini semakin hangat.
Kedua-dua pihak dilihat saling berbalas kritikan di laman sosial dengan Najib mendakwa Presiden Bersatu itu memutar belit mengenai pengkhianatan berkenaan, manakala Muhyiddin tegas menafikannya.
“Baru tadi, Muhyiddin membalas posting saya semalam dengan menafi dia namakan calon Bersatu sebagai Ketua Menteri (KM) Sabah pada hari pencalonan (PRN Sabah).
“Dia kata dia cuma beri “bayangan” siapa KM – bukan umum. Tetapi kenapa pula pilih hari pencalonan untuk beri bayangan/namakan KM sedangkan itu cuma permulaan kempen PRN?” soal Najib dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa, tindakan itu jelas niatnya dari mula ialah untuk pilih calon Bersatu sebagai KM dan bukan dari Umno.
“Tak apa. Nak beri bayangan ataupun nak namakan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menggesa dua soalannya yang dibangkitkan sebelum ini mengenai kenyataan Ketua Bersatu Johor minggu lalu yang mengatakan Muhyiddin berpendirian menamatkan dominasi Barisan Nasional (BN).
“Jangan buat-buat tak nampak.
“Sila juga nafikan rakaman ini bukan suara kamu yang didakwa dari mesyuarat MKT Bersatu pada 23 Feb 2020 di mana suara ini merancang untuk sogok ahli-ahli Umno untuk menjadi parti terbesar kerajaan?
“Tak payah nak putar belit lagi. Niat kamu sudah kita sedar,” katanya. – Malaysiapost

