KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperakukan pelanjutan kontrak petugas Kesihatan yang akan menamatkan kontrak pada tahun ini dalam mengambil kira status Malaysia yang kini dalam fasa peralihan pandemik ke fasa endemik.
Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah, berkata perkara itu juga adalah usaha memulihkan perkhidmatan tertangguh akibat pandemik Covid-19.
Beliau menegaskan, KKM amat menghargai peranan penting Penolong Pegawai Perubatan di KKM bersama barisan hadapan lain khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.
“Dalam hal ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 26 dan 28 Januari lalu telah bersetuju meluluskan pelantikan semula kontrak seramai 1,243 Penolong Pegawai Perubatan Gred U29 dari kalangan graduan Institut Latihan KKM yang tamat kontrak pada 2 Februari ini.
“Pemakluman mengenai pelanjutan kontrak ini telahpun dimaklumkan kepada Ketua Jabatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media berhubung isu Penolong Pegawai Perubatan Gred U29 yang dikatakan akan mengadakan mogok susulan ramai antara mereka akan ditamatkan kontrak.
Mohd Shafiq berkata, tawaran pelanjutan kontrak bagi kohort lain yang akan tamat kontrak dalam tahun ini juga akan dibuat secara berfasa sebaik perakuan KKM diluluskan oleh agensi pusat dan SPA. – Malaysiapost

