Kerajaan Sabah digesa batal perjanjian NCA serta-merta – Shafie Apdal

0
1
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal

BEKAS Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa ketika beliau mentadbir pada 2018, kerajaan negeri telah membekukan kesemua lesen import balak.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, beribu-ribu hektar tanah juga telah diserahkan kepada orang Asal di Sabah sekaligus mengakhiri penantian mereka sejak berpuluh tahun.

Merujuk artikel terbitan Al Jazeera bertajuk “Very hush-hush: Borneo’s $80bn carbon deal stokes controversy” yang disiarkan semalam, beliau berkata laporan itu tidak benar dan mengelirukan rakyat Sabah serta masyarakat antarabangsa.

Artikel itu menyebut bahawa berdasarkan keterangan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Nature Conservation Agreement (NCA) telahpun dibentangkan dan diluluskan pelaksanaannya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Katanya, pada 6 Disember lalu beliau telah membangkitkan isu mengenai NCA dalam Mesyuarat DUN Sabah dan mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri menandatangani perjanjian itu yang dilihat berat sebelah dan tidak memberi kepentingan jelas kepada rakyat dan negeri.

“Pertamanya, tempoh durasi perjanjian adalah selama 100 tahun dan ini menyebabkan dua juta hektar hutan negeri Sabah diserahkan kepada syarikat asing yang berpengkalan di Singapura. Keduanya, tindakan Kerajaan Negeri yang tidak membuat konsultasi umum sebelum memasuki Perjanjian ini juga dipersoal.

“Ketiganya, saya juga telah membangkitkan kredibiliti pihak yang memasuki Perjanjian ini dengan Kerajaan Negeri Sabah. Ini adalah kerana mengikut semakan, syarikat ini tidak pernah mengendalikan apa-apa perniagaan dalam industri karbon kredit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shafie berkata, sebagai rekod tiada sebarang kertas usul dibawa oleh pihak kerajaan dalam DUN yang lalu mengenai perjanjian tersebut, sekaligus menyangkal kenyataan bahawa NCA telah dibentangkan dan diluluskan oleh DUN.

“Kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini boleh membuatkan kesemua Adun, termasuk dari blok pembangkang menanggung liabiliti Perjanjian berat sebelah ini. Ini tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

Sementara itu, menurutnya perkara yang perlu diberi perhatian ialah cadangan keuntungan 30 peratus diperolehi syarikat Hock Standard, bersamaan RM100 juta sepanjang tempoh perjanjian yang hanya menguntungkan syarikat asing berpengkalan di Singapura.

Menurutnya, lebih merisaukan bila mana syarikat tersebut tidak pernah menjalankan perniagaan karbon kredit sebelum ini.

“Mana-mana wakil kerajaan negeri disarankan untuk menolak dari menjadi broker atau orang tengah dalam mana-mana Perjanjian Antarabangsa yang diragui kesahihannya.

“Kita tidak mahu Perjanjian NCA ini bertukar menjadi suatu skandal yang boleh merosakkan imej Malaysia di mata dunia.

“Berdasarkan pelbagai indikasi dan fakta-fakta yang dikemukakan, Parti Warisan menyarankan agar kerajaan negeri Sabah membatalkan Perjanjian NCA ini dengan serta merta,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here