Najib hairan Bersatu boleh anjur kempen, ceramah terbuka

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta penjelasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada penganjuran kempen dan ceramah terbuka sudah dibenarkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Najib berkata, beliau terkejut dengan kenyataan Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin yang mengumumkan parti itu akan melaksanakan ceramah terbuka, serta menjelajah ke seluruh Johor sebelum 9 Februari ini tanpa menunggu tarikh PRN Johor daripada SPR.

“Rupanya, SOP larangan untuk berceramah secara bersemuka sudah ditarik balik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia?

“Korang duduk rapat-rapat tak takut Covid ke? Dan larangan untuk berceramah dan berkempen sebelum tempoh kempen yang dibenarkan seperti di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 juga telah dimansuhkan?,” soalnya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, Najib berkata, beliau tertanya-tanya bagaimana Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak tahu berkenaan kebenaran ceramah terbuka itu sudah boleh dilaksanakan pada PRN Johor.

“Kenapa tiada siapa memberitahu Umno dan BN. Minta penjelasan pihak KKM dan SPR,” katanya.

Dalam hantaran sama, Najib memuat naik tangkap layar hantaran status Facebook, Badrul Hisham yang turut memaklumkan kehadiran lebih 200 jentera Bersatu dalam Pra-Pelancaran Jentera PN PRN Johor, malam tadi.

Menurut Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard, Siri Pra Pelancaran Jentera dan Ceramah Terbuka anjuran Penerangan Bersatu Malaysia itu akan menjelajah ke seluruh Johor sebelum 9 Februari ini.

Jelasnya lagi, gerak kerja itu dijalankan tanpa menunggu pengumuman tarikh rasmi SPR untuk memastikan semua jentera penerangan bergerak menyampaikan maklumat terus kepada pengundi Johor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here