KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengorak langkah dengan menjalin kerjasama lebih erat dengan Singapura khususnya dalam bidang pendidikan teknologi dan kreatif.
Persefahaman kerjasama dua hala itu dicapai hasil perbincangan menerusi kunjungan hormat Menteri Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura, Masagos Zulkifli ke atas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pertemuan lebih sejam itu berlangsung di Bangunan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya dalam rangka lawatan kerja rasmi menteri berkenaan selama tiga hari bermula hari ini.
Menurut Mahadzir, selain bertukar pandangan dalam hal pembangunan sosial, Masagos dan delegasinya turut menyentuh mengenai rancangan untuk mengukuhkan kerjasama sedia ada.
“Antaranya dalam pendidikan keusahawanan, teknologi digital dan teknologi kreatif yang boleh memberi faedah dua hala terutama kepada masyarakat di luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Masagos yang juga Menteri Kedua Kesihatan dan Menteri Hal Ehwal Ugama Islam Singapura, turut mengharapkan sektor pelancongan kedua-dua negara kembali rancak.
“Ia selepas Malaysia membuka sempadan antarabangsa bagi kemasukan pelancong asing terutamanya bagi industri eko dan agro pelancongan serta pelancongan kesihatan,” katanya.
Mahadzir berkata, lawatan kerja rasmi itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura yang terjalin sejak 59 tahun yang lalu. – Malaysiapost

