POLIS mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian pergaduhan di Medan Selera Padang Kota Lama, Pulau Pinang seperti video yang tular di media sosial hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan V Saravanan, berkata video berdurasi 44 saat itu tukar di Facebook hari ini memaparkan kejadian pergaduhan beberapa individu.
Menurutnya, hasil semakan mendapati kejadian itu berlaku membabitkan beberapa lelaki tempatan pada 1 Februari lalu pada jam 11.40 malam di medan selera berkenaan
“Susulan insiden itu satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki berusia 36 tahun yang mendakwa berlaku pergaduhan di kedai makannya.
“Berlaku perselisihan faham Antra lelaki terbabit dengan lima lelaki tempatan lain hingga mencetuskan pergaduhan.
“Dua daripada lelaki tersebut adalah adik pengadu, manakala tiga lagi adalah sepupunya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semasa pergaduhan kedua-dua pihak menggunakan kerusi dan kayu sebagai senjata
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati punca pergaduhan kerana berebut pelanggan dan terdapat dendam lama antara kedua-dua pihak.
“Mereka yang terlibat mengalami kecederaan ringan iaitu luka dan calar di bahagian badan dan sudah menyerah diri.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang berada ditempat kejadian dan menyaksikan pergaduhan itu supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi membantu siasatan.
“Polis juga menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan menyebarkan apa-apa rakaman video di mana-mana medium media sosial,” katanya. – Malaysiapost

