Batal permit Institut memandu bukan polisi MOT – Ka Siong

0
1

KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) menegaskan bahawa tindakan untuk membatalkan permit institut memandu (IM) dan menarik balik sijil tenaga pengajar kerana rekod kemalangan jalan raya bukanlah polisi kementerian.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, kenyataan berhubung perkara itu hanyalah merupakan satu pandangan peribadi Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan bukan merupakan satu ketetapan dasar oleh MOT pada masa ini.

Beliau memaklumkan bahawa sebarang hala tuju dasar atau apa jua cadangan penambahbaikan sudah tentunya akan dikaji secara holistik dan saintifik terlebih dahulu oleh MOT.

Menurutnya, ia dengan mengambil kira pelbagai aspek berkaitan termasuk keberkesanannya, kebolehlaksanaanya dan keupayaannya untuk mencapai objektif yang ditetapkan.

“MOT tidak mahu menuding jari secara melulu terhadap pihak tertentu dan seterusnya mempersalahkannya semata-mata berdasarkan andaian atau hipotesis yang tidak berasas.

“Kajian terperinci ini juga akan turut melibatkan sesi libat urus bersama semua pihak yang berkepentingan bagi mendapatkan pandangan serta cadangan penambahbaikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam masa sama, MOT bersama agensi-agensi di bawahnya akan meneruskan aktiviti advokasi dan penguatkuasaan sedia ada.

“Ia bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pematuhan kepada peraturan jalan raya dan aspek keselamatan jalan raya di seluruh negara.

“MOT serius dan komited dalam memastikan jalan raya kekal selamat digunakan oleh semua pihak,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, JPJ akan menggantung atau membatalkan permit institusi memandu mengeluarkan ramai calon yang terbabit dalam kemalangan jalan raya dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

Tindakan itu akan dijalankan menerusi kaedah melekatkan kod di lesen memandu pengguna jalan raya bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan di mana pesalah itu menerima latihan pemanduan.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata, kaedah itu masih dalam peringkat cadangan namun akan disenaraikan di bawah sistem e-Testing yang selepas dilancarkan pada 1 April nanti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here