Annuar beri amaran pada pengamal media

0
1

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa memberi amaran kepada pengamal media supaya menjaga etika kewartawanan bagi mengelakkan berdepan tindakan sivil atau undang-undang.

Beliau berkata, meskipun kerajaan amat menghormati prinsip kebebasan media, namun semua pihak mesti mempunyai kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dan laporan yang disiarkan.

“Sejak akhir-akhir ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima banyak aduan daripada pelbagai pihak, di mana terdapatnya pengamal media, sama ada media konvensional dan juga media dalam talian serta media sosial yang sewenang-wenangnya melanggar etika dan undang-undang negara.

“Dalam hal ini saya percaya semua pengamal media mempunyai keupayaan untuk membuat penilaian sendiri dan kekuatan moral untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga etika kewartawanan dalam setiap pelaporan berita yang disiarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Annuar berkata, pelaporan yang melanggar hak orang lain atau melanggar undang-undang tidak seharusnya berlaku dan mesti dielakkan kerana boleh mengakibatkan pihak media berdepan tindakan sivil atau undang-undang di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code).

“Sewajarnya menjadi tanggungjawab semua pengamal media untuk bersama-sama mendukung prinsip pelaporan berita yang tepat dan beretika sepanjang masa, dan pada masa yang sama akan memberi keyakinan dan meningkatkan integriti pihak media itu sendiri,” katanya lagi.

Semalam, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus membuat laporan polis terhadap tiga pautan berita palsu mengenai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berdasarkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, ketiga-tiga berita palsu terbabit didakwa disiarkan di portal Agendadaily, The Malaysia Life dan Dialog Rakyat Blogspot.

Menurut Mohammad Anuar, laporan berita terbabit mengandungi kenyataan palsu dan fitnah jenayah berkaitan kenyataan Perdana Menteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here