Lelaki mati ditembak di kondominium ada 11 rekod jenayah lampau

0
1

MANGSA yang mati ditembak di sebuah kondominium di Perai, Bukit Mertajam malam tadi mempunyai 11 rekod jenayah lampau dengan empat daripadanya menyebabkan lelaki itu menjadi buruan polis sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad, berkata mangsa yang dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an meninggal dunia di tempat kejadian susulan kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa disyaki ditembak dengan menggunakan senjata api oleh dua lelaki yang menaiki dua buah motosikal berasingan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.30 malam.

“Susulan kejadian itu juga, polis meminta mana-mana orang awam yang menyaksikan tragedi itu atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya tampil ke depan untuk membantu siasatan.

“Mereka (orang awam tersebut) boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Nurul Farahida Ismail di talian 019-5658059 atau 04-5382222,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafee berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, dilaporkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di tingkat tiga kondominium berkenaan.

Katanya, sebanyak 12 kelongsong peluru turut ditemukan berhampiran mayat mangsa dalam kejadian tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here