PEMAMDU sebuah pacuan empat roda yang tular kerana membawa dua penumpang kanak-kanak secara bahaya dalam kejadian di lampu isyarat simpang tiga, Jalan Jitra berhampiran Balai Polis Jitra Lama, semalam sudah dikesan dan dikenakan tindakan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata kejadian berkenaan dikesan pada jam 2.26 petang semalam susulan penularan video berdurasi 26 saat memaparkan perbuatan berbahaya itu.
Menurutnya, bertindak atas maklumat berkenaan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu telah mengesan pemandu pacuan empat roda terbabit.
“Lelaki terbabit dikesan di Kampung Kota Mengkuang, Mukim Wang Tepus, Jitra, Kedah dan hasil siasatan mendapati pemandu berkenaan adalah datuk kepada dua kanak-kanak perempuan yang dirakam dalam video yang tular itu.
“Pemandu berkenaan juga mengaku membawa dan membiarkan kedua-dua cucunya duduk di bahagian belakang ruang kargo tanpa penutup dan hanya sekadar suka-suka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamtan orang lain.
“Sebagai peringatan bersama, polis menyeru supaya Ibu bapa mengambil iktibar daripada kejadian ini supaya lebih bertanggungjawab dengan keselamtan kanak-kanak serta mematuhi undang-undang ditetapkan.
“Polis juga menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah sekitar Daerah Kubang Pasu dapat menyalurkannya kepada IPD Kubang Pasu ditalian 04-917 2222,” katanya. – Malaysiapost

