Sivarasa, Maszlee perlu hormati tugas SPRM

0
1

KENYATAAN Dr Maszlee Malik dan R Sivarasa yang mendatangkan syak wasangka terhadap fungsi serta tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, adalah tidak bertanggungjawab.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Bin Na’aman, berkata kedua-dua individu itu wajar dikenakan tindakan jika terus menghasut orang ramai dengan menjadikan siasatan SPRM sebagai modal politik mereka.

“Menjadi pembangkang di negara ini tidak bermakna kalian kebal dari siasatan pihak berkuasa.

“Ini kerana tugas agensi tertentu seperti SPRM ini juga berdasarkan laporan yang dibuat oleh pihak luar terhadap mereka yang sedang disiasat. Siasatan adalah lazim untuk mencari kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya seseorang itu yakin bahawa dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan melibatkan rasuah, pecah amanah atau salah guna kuasa, sepatutnya mereka memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan.

“Setakat ini SPRM tidak membuatkan sebarang penahanan tanpa sebab.

“Dan jika terdapat dakwaan pula melalui bukti-bukti yang ditemui seseorang tahanan itu akan dibicarakan di mahkamah. Di situlah gelanggang untuk mendapatkan keadilan,” katanya.

Beliau berkata, SPRM wajar terus berfungsi bagi mengelakkan mudarat yang lebih serius jika korupsi dibiarkan berleluasa tanpa mengenal individu.

“Dalam kita menegur kekurangan SPRM yang wujud, sepertimana kita mengkritik kelemahan agensi-agensi penguatkuasa yang lain di negara ini, ia tidak bermakna tugas dan peranan agensi seperti SPRM ini dicerca, diperlekeh, apatah lagi cuba dinafikan,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here