Tak sampai 3 minggu dijemput sertai MN, Bersatu sudah khianati Umno – Najib

0
2

ALASAN bahawa Umno pernah bersetuju untuk mengajak Bersatu menyertai Muafakat Nasional (MN) dan kemudian memungkiri janji, kini digunakan sebagai propaganda bahawa Umno tidak jujur.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak berkata, Umno dituduh mengkhianati MN serta PAS kerana tidak ingin bekerjasama dengan Bersatu.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ramai yang sudah lupa atau masih tidak sedar apa yang berlaku.

“Ya, surat jemputan kepada Bersatu pernah ditandatangan pada akhir bulan Ogos 2020.

“Tetapi tak sampai tiga minggu kemudian, Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon untuk melawan BN di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, PN juga meletakkan calon bebas di enam kawasan DUN yang ditandingi BN untuk memecahkan undi.

“Bagaimanapun, BN masih memenangi jumlah kerusi terbanyak dengan 14 kerusi berbanding 11 kerusi DUN bagi Bersatu (yang sebenarnya semua adalah bekas pemimpin Umno Sabah yang lompat ke Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Sebab itu, Umno rasa dikhianat. Umno terpaksa melepaskan banyak kerusi tradisional BN yang mempunyai peluang tertinggi menang kepada Bersatu sebagai sebahagian rundingan akan diberi jawatan Ketua Menteri sekiranya gabungan kita menang.

“Pun begitu, mereka masih melawan BN di 17 kerusi dan letakkan calon bebas di enam kerusi untuk pecah undi BN. Dan walaupun BN berjaya memperolehi jumlah kerusi DUN tertinggi, Ketua Menteri Sabah pula dilantik dari Bersatu,” katanya.

Najib berkata, tiada sebab Umno perlu bekerjasama dan berkawan dengan pihak yang niat sebenarnya adalah untuk menamatkan Umno buat selama-lamanya dengan menggunakan pelbagai cara.

“Akar umbi Umno amat sedar pengkhianatan dan niat mereka dan telah sebulat suara membuat keputusan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dan pembentukan gabungan politik bersama PN pada PRU15.

“Jadi, pemimpin-pemimpin Umno sekarang perlu menghormati keputusan muktamad PAU,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here