Afdlin Shauki sedia jadi calon pilihan raya

0
1

PELAKON dan Pengarah, Datuk Afdlin Shauki tidak menolak jika dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya dan mengakui sudah bersedia jika dipilih sebagai calon.

Bagaimanapun, Afdlin yang kini sebagai ahli PKR tidak pasti sama ada ura-ura berkenaan adalah benar atau hanya khabar angin sahaja.

“Sama ada saya dicalonkan atau tidak, itu terpulang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR). Saya ahli PKR biasa saja. Cuma ada dengar nama dicalonkan untuk jadi wakil rakyat, tetapi saya tak boleh sahkan atau nafikan.

“Kalau tak dapat jawatan pun, saya tetap akan sokong sesiapa sahaja yang dicalonkan itu. Apa yang penting bagi saya adalah untuk membantu orang.

“Saya percaya kita kena bekerja sebagai satu pasukan untuk pastikan tugasan dapat membantu masyarakat itu dilaksanakan dengan baik. Dan ya, kalau dicalonkan, saya bersedia,” katanya kepada media.

Afdlin sebelum ini diumumkan menyertai PKR bersama-sama penyanyi terkenal, Altimet pada April tahun lalu.

Sementara, pengarah filem Baik Punya Cilok itu turut memuji kejayaan rakan artis seperti Datuk Dira Abu Zahar yang mewakili Barisan Nasional (BN), sekali gus memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu.

“Macam Dira, lebih banyak orang seni berjaya ia menunjukkan satu benda iaitu kami ini bukan bodoh seperti ramai yang orang sangkakan.

“Kita semua bersekolah dan tahu isu-isu semasa, cuma kerjaya kami adalah bidang seni. Dira contohnya, juga membuktikan bahawa wanita juga mampu terpilih pada jawatan tertinggi pengelolaan negara.

“Bagus ada orang seni dalam politik kerana mereka boleh jadi suara anak seni dalam arena ini kerana mereka faham apa yang berlaku dalam industri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here