SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng mengkritik tindakan kerajaan yang didakwa tidak konsisten dalam membuat keputusan berhubung isu kadar tarif baharu elektrik negara.
Guan Eng berkata, sebelum ini, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan Kabinet sudah membuat keputusan muktamad berhubung kadar tarif elektrik baharu bagi tempoh 2022 sehingga 2024, berkuat kuasa 1 Februari ini.
Namun, katanya, tidak sampai sehari perkara itu diumumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula memaklumkan tidak menaikkan tarif elektrik.
“Kabinet Menteri buat U-turn dalam satu hari. Walaupun U-turn ini merupakan berita baik kepada rakyat, tetapi harap Kabinet boleh buat keputusan dengan cermat dan bertanggungjawab lain kali.
“Fikir baik-baik sebelum buat keputusan. Jangan setiap kali apabila rakyat susah dan marah baru buat U-turn,” katanya menerusi Facebook.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, tindakan kerajaan yang sering membuat keputusan mengelirukan, didakwa tidak layak untuk mendapat mandat rakyat mentadbir negara.
“Sebuah kerajaan yang selalu buat keputusan mengelirukan, ubah dasar berkali-kali dan hilang keyakinan pelabur seperti ini tidak layak mendapat mandat rakyat,” katanya.
Khamis lalu, Takiyuddin memaklumkan kadar tarif baharu elektrik negara bagi tahun 2022 hingga 2024 akan diumumkan dalam masa terdekat.
Jelas Takiyuddin, keputusan itu telah diputuskan pada Rabu lalu, serta memberi jaminan ia tidak akan membebankan pengguna.
Namun, semalam, Perdana Menteri berkata, kerajaan membuat keputusan untuk tidak menaikkan tarif elektrik untuk sembilan juta pengguna domestik.
Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan terus memberikan subsidi sebanyak RM700 juta agar para pengguna tidak terkesan. – Malaysiapost

