PEMAIN beregu wanita negara, Lee Meng Yean menjadi pemain terbaru yang mengangkat kaki meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Dalam satu kenyataan, BAM memaklumkan, Meng Yean, 27, yang mengetuai pasukan wanita negara pada saingan Piala Uber 2020 dan beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak lagi akan bersama skuad kebangsaan berkuat kuasa, hari ini.
“BAM ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Meng Yean atas sumbangannya kepada pasukan kebangsaan, dia pergi dengan ucapan terbaik daripada semua yang berada di persatuan,” kata kenyataan itu, hari ini.
Sementara itu, Meng Yean berkata, biarpun tidak lagi bersama BAM namun dia tetap akan meneruskan kerjayanya sebagai pemain profesional dan mewakili Malaysia.
“Ini adalah keputusan sukar buat saya tetapi saya percaya dan bersedia dengan laluan saya yang seterusnya. Walaupun tidak lagi berlatih di BAM, ia bukan bermakna saya akan berhenti bermain.
“Saya hanya bermain di persekitaran yang berbeza dan tetap mewakili Malaysia. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan sepanjang kerjaya saya.
“Terima kasih tidak terhingga kepada BAM, ISN (Institut Sukan Negara), MSN (Majlis Sukan Negara), jurulatih dan rakan sepasukan yang banyak membantu saya. Saya sangat menghargainya.
“Jangan bimbang, saya tidak akan hilang daripada dunia badminton kerana saya tahu anda semua mahu menyaksikan Nyek Nyek (nama julukannya) terus bersinar di dalam gelanggang,” kata Meng Yean di Facebook. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook

