KERAJAAN bersedia memberi ruang kepada semua calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menggunakan saluran yang disediakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai medium untuk memperkenalkan diri.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata inisiatif itu atas usaha untuk melengkapkan proses demokrasi matang.
“Sebenarnya boleh, termasuk juga pembangkang, selagi mana ia tidak disalahgunakan, atas usaha melengkapkan proses demokrasi dan menjadikannya kita demokrasi matang.
“Semua calon itu sama, macam di PRN Melaka, semua calon termasuk Bebas bukan sahaja pembangkang turut diberi ruang untuk mereka memperkenalkan diri, dan rakyat berhak untuk mengenali dan membuat pilihan sendiri, jadi tidak timbul masalah dari segi itu,” katanya seperti dilaporkan FMT hari ni.
Annuar berkata RTM khususnya saluran televisyen, dan radio seperti Johor FM, diberi ruang untuk merangka program yang bersesuaian sepanjang tempoh PRN terutama selepas proses penamaan calon.
“Ia bertujuan memaparkan maklumat calon supaya lebih mudah dikenali, kita juga faham prosedur operasi standard (SOP) baharu akan ada had pergerakan calon secara individu. Maka di situ RTM boleh main peranan, memberi ruangan sesuai untuk mereka (calon) secara adil dan saksama,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh PRN Johor selepas mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini. – Malaysiapost

