HUBUNGAN dalam Pakatan Harapan (PH) tidak akan terjejas biarpun Parti Keadilan Rakyat menggunakan logo sendiri, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi PH itu menegaskan bahawa keputusan PKR menggunakan logonya sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak akan menjejaskan hubungan parti kompenen dalam gabungan itu.
Beliau berkata, kontroversi membabitkan penggunaan logo itu bukanlah satu isu besar dan ada pihak sengaja mempolemikkannya seolah-olah ini kali pertama PKR memutuskan untuk bertanding di bawah logonya sendiri.
Anwar yang juga Presiden PKR mengimbas semula PKR, DAP dan PAS pernah bertanding pada pilihan raya umum 2013 menggunakan simbol mereka sendiri, walaupun mereka berada dalam gabungan Pakatan Rakyat ketika itu, dan mereka tidak mempunyai sebarang masalah ketika itu.
“Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) masih kukuh. Ada pihak menggunakan isu ini untuk memecahbelahkan kita. Tapi dasar dan manifesto kami kekal sama,” katanya kepada media lapor Malaysiadateline di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, parti itu memutuskan untuk menggunakan logo sendiri berikutan sentimen dalam kalangan pengundi luar bandar yang lebih mengenali logo PKR.
Terdahulu, PKR memutuskan untuk bertanding di bawah logonya sendiri, manakala Amanah dan DAP akan bertanding di bawah logo besar Pakatan Harapan.
Perkara tersebut mengundang kritikan pelbagai pihak dan tidak terlepas daripada dalam gabungan itu sendiri.
Bagaimanapun Amanah dan DAP menghormati keputusan rakan sekutu mereka itu dan kedua-dua parti menyatakan akan terus bekerjasama dengan PKR pada PRN Johor. -Malaysiapost

