TUAH ayam nampak di kaki, namun siapa sangka tuah Haziq rupanya terletak pada ular sawa.
Aksinya yang bersahaja lagak seorang wartawan dengan petah berkata-kata ketika melaporkan penemuan ular sawa di kawasan rumahnya di Bukit Selambau telah mencuri perhatian rakyat Malaysia.
Terbaharu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa teruja melihat aksi ‘wartawan cilik’, Muhammad Haziq Mohd. Asyraf, 12, yang jelas berbakat.
Gelagat dan kepetahan Haziq dalam menyampaikan maklumat secara langsung di Facebook itu membawa tuah kepada dirinya apabila menerima hadiah sebuah MatePad daripada Annuar, hari ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Annuar amat teruja melihat video rakaman wartawan cilik tersebut yang juga mendapat pujian orang ramai.
“Saya teruja melihat wartawan cilik Muhammad Haziq melaporkan kemunculan ular sawa di pasar Bukit Selambau.
“Kesunggugan dan kebolehan adik Haziq perlu digalakkan jadi saya menghadiahkan sebuah gajet buat beliau.
Tambah Annuar, dia berharap agar dengan pemberian hadiah tersebut dapat memupuk semangat Haziq untuk terus belajar dengan bersungguh-sungguh
Terbaharu, Haziq dikatakan telah menerima tawaran berlakon daripada sebuah sanggar produksi yang berpangkalan di ibu negara.
Kelmarin, Haziq juga telah menerima hadiah telefon bimbit dan tablet jenama Oppo daripada Sultan Kedah.
Hadiah itu disampaikan kakitangan Pejabat Sultan Kedah yang mengunjungi Haziq di rumahnya. -Malaysiapost

