PRN Johor: Pakar kata boleh kempen, ceramah bersemuka ikut SOP

0
2

Nilam Oshman

KEMPEN atau ceramah secara bersemuka boleh dibenarkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang munasabah.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologist, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata apa yang penting Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan pihak yang berkempen lengkap dua dos vaksinasi, memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, serta ruang persekitaran untuk berkempen luas dan tidak sesak.

Beliau berkata, walaupun kes Covid-19 dilihat kini melepasi 5,000, namun majoriti kes bukan kategori kritikal sebaliknya kategori 1 dan 2, iaitu individu mempunyai gejala ringan.

Justeru, katanya, tidak mustahil kempen atau ceramah secara bersemuka boleh dilakukan, dan SPR perlu juga memberi ruang parti bertanding dan rakyat mengamalkan erti sebenar demokrasi.

“Mengikut pengalaman kami di PRN Melaka, dari pemantauan saya dan pasukan, dapat dilihat pelaksanaan SOP ketat, tetapi orang ramai tidak ikut pun.

“Jadi saya sarankan SOP munasabah, iaitu parti bertanding yang nak berkempen itu mesti mempunyai vaksinasi lengkap dua dos, memakai pelitup muka, selain itu, persekitaran jangan ‘over crowded’ atau terlampau sesak,” katanya kepada Malaysiapost.

Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui pemantauannya di PRN Melaka, ada parti menggunakan lori untuk berkempen, dan ia lebih baik dan selamat kerana orang ramai tidak berhimpun.

“Tetapi jika berjumpa atau bertegur sapa di kedai itu, lagi teruk berbanding bersemuka di padang. Justeru, saya rasa biar munasabah iaitu ruang lebih terbuka sedikit.

“Kita tak perlu takut sebab vaksinasi dewasa pun dah melepasi 90 peratus, booster dah 34 peratus. Jadi tak gunalah kita ada vaksin tapi tak boleh longgar sikit,” katanya.

Isnin lalu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa SPR perlu memperbetul SOP bagi kempen PRN Johor bagi membolehkan aktiviti seperti ceramah serta kempen bersemuka diadakan dengan selamat.

Dalam satu kenyataan bersama itu, mereka berpendapat aktiviti ceramah serta kempen bersemuka relevan memandangkan jumlah kes positif Covid-19 serta kemasukan ke hospital agak stabil serta jumlah penerima dos kedua yang mencecah 80 peratus dan dos penggalak lebih 30 peratus.

Sehubungan itu, Majlis Presiden PH menuntut agar SPR membenarkan ceramah dan aktiviti-aktiviti kempen bersemuka seperti pemberian bahan cetak dari rumah ke rumah dengan pematuhan ketat SOP. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here