‘Muhyiddin cermin diri dulu, jangan angkuh’ – Mazlan

0
2

BEKAS Ketua Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencerminkan diri terlebih dahulu sebelum menyifatkan tindakannya keluar parti semalam sebagai tidak bermaruah.

Mazlan turut memberitahu Presiden Bersatu itu supaya tidak angkuh dan sombong.

“Cermin diri dulu, jangan mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Muhyiddin jangan angkuh.

“Saya dahulu tidak dihormati Presiden, macam mana saya hendak hormat Presiden,” katanya seperti dilapor FMT.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin semalam yang menyifatkan tindakannya keluar Bersatu sebagai tidak bermaruah, malah tidak menjejaskan persiapan parti itu untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Semalam, susulan tindakan Mazlan itu, Muhyiddin membidas beliau dengan berkata:” Dia ingat Umno akan lantik dia sebagai calon.

“Mana maruah dia, mengapa dia bersikap begitu dan baru sekarang hendak cakap soal itu ini. Boleh jadi dia sudah tahu tidak akan menjadi calon mungkin,” katanya.

Terdahulu, Mazlan mengumumkan meletak jawatan ketua bahagian, sekali gus keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Mazlan berkata, beliau bagaimanapun tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, keputusan itu diambil selepas menilai dan menimbang perkara itu sejak sekian lama dengan pemikiran yang waras.

Dalam masa sama, beliau mendedahkan sudah lama memendam rasa dengan tindakan Bersatu yang meminggirkannya sejak dahulu, sebelum mengambil keputusan keluar parti.

Bekas Pengerusi Bersatu Johor itu berkata, ia termasuk diboikot Muhyiddin yang tidak pernah menghadiri atau menghantar wakil ke mesyuarat pimpinan negeri ketika beliau memimpin parti peringkat negeri sebelum ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here