Kejatuhan PH akibat sengketa Anwar – Azmin, bukan salah Tun M

0
2

SEORANG pemimpin Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) hari ini membidas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy susulan kenyataannya yang mendakwa kejatuhan Pakatan Harapan (PH) disebabkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ramasamy semalam dilaporkan mempersoal keputusan PKR menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bukan lambang Pakatan Harapan (PH).

Pemimpin DAP itu berkata adalah salah dan dangkal bagi sesetengah pemimpin PKR menganggap punca masalah mereka ialah penggunaan logo PH, tetapi sebaliknya kepimpinan telah diperguna dan dimanipulasi oleh Dr Mahathir.

Mengulas mengenainya, Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata Ramasamy sekurang-kurangnya perlu menunjukkan sedikit rasa hormat terhadap Dr Mahathir yang kini dirawat di hospital.

Katanya, kejatuhan kerajaan PH adalah kerana persengketaan antara dua pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Keadaan itu katanya, menyaksikan 10 Ahli Parlimen PKR isytihar keluar parti seterusnya menarik sokongan terhadap kerajaan PH.

“Jangan bersikap ‘bodoh’ dan senantiasa hendak salahkan Tun Dr Mahathir Mohamad. Parasit politik adalah pemimpin tak rasional dan emosional seperti Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sendiri,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Kelmarin Anwar berkata, Majlis Presiden PH bersetuju untuk membenarkan PKR menggunakan logonya sendiri pada PRN Johor manakala Amanah dan DAP kekal bertanding menggunakan logo PH. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here