PENGARAH Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan tiada sebarang rundingan kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor antara parti itu dan Umno dilakukan sehingga hari ini.
Beliau berkata, jika ada pihak yang mendakwa Pas telah menolak kerusi yang Umno tawarkan kepada mereka atas sebab apa sekalipun, sesungguhnya individu atau pihak terbabit telah berbohong.
“Berbohong tentang sikap Pas yang digambarkan sebagai tamak di hadapan jentera mereka sendiri tidak lain hanya bertujuan menimbulkan kebencian penyokong mereka kepada Pas.
“Jika mereka menyemai kebencian dengan bercakap bohong, adakah akan tumbuh penyatuan? Tidak! Mereka sedang mengusahakan perpecahan,” katanya menerusi Facebook.
Semalam, media melaporkan rundingan antara Umno dan Pas berhubung jumlah kerusi di Johor gagal mencapai titik persefahaman susulan Pas mahukan lebih banyak kerusi.
Umno didakwa hanya mahu memberikan empat kerusi kepada Pas, manakala parti itu mahukan semua kerusi yang tidak dimenangi BN pada PRU14. – Malaysiapost

