PRN Johor: BN miliki kelebihan, PN pilihan alternatif

0
1

Najamuddin Mohd Nor

BARISAN Nasional (BN) memiliki peluang cerah menawan Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.ö

Berdasarkan perkembangan politik semasa, BN memiliki kelebihan untuk memikat hati pengundi di Johor berbanding Perikatan Nasional (PN) mahu pun Pakatan Harapan (PH). 

Pandangan itu dilontarkan penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib yang menyifatkan senario politik semasa berpihak kepada BN sekali gus berpeluang mengulangi kemenangan seperti diraih pada PRN Melaka lalu. 

Bagaimanapun, Md Shukri tidak menolak PN yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memberi saingan sengit. 

“Perkembangan semasa, mood rakyat nampaknya kembali kepada BN ketika ini. Kita dapat lihat pada siri-siri PRK, yang terbaharu PRN Melaka dan PRN Sarawak (GPS), rakyat telah kembali yakin dan percaya kepada kepimpinan BN mentadbir kerajaan seperti yang ditonjolkan Perdana Menteri daripada BN ketika ini. 

“Namun PN akan menjadi parti alternatif kepada rakyat yang mana tidak menyukai BN dan PH. 

“BN tidak boleh memandang enteng kepada PN, kerana PN juga pernah mentadbir negara dan beberapa negeri sebelum ini. Ia mempunyai trek rekod yang boleh dinilai rakyat,” katanya kepada Malaysiapost.

Ditanya, kenapa PN yang bakal menjadi pencabar utama BN, Shukri menjelaskan, wujudnya PN itu adalah hasil politik retorik PH yang memerintah negara selama 22 bulan. 

“Kita tahu PN itu lahir untuk menghalang politik retorik PH. Walaupun PH terlebih dahulu wujud daripada PN, namun PN adalah alternatif kepada PH. 

“Pengundi yang tidak suka PH dan BN akan undi PN. Tambahan pula kepimpinan PN ramai muka-muka baharu berbanding muka-muka klasik membarisi kepimpinan PH. Inilah kelebihan yang PN ada. 

“Jadi PRN Johor ini memberi kelebihan besar kepada BN, PN menjadi saingan utama BN manakala PH hanya menjadi blok ketiga pilihan rakyat,” katanya. 

Dalam pada itu, Md Shukri menjelaskan, faktor orang muda dan muka baharu calon yang bertanding pada PRN Johor nanti boleh menentukan kemenangan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Ini kerana, menurutnya, calon orang muda atau muka baharu dapat memberi nafas baharu kepada pengundi yang sememangnya dahagakan pembaharuan. 

“Kalau kita tengok PH, muka yang sama, pemimpin sama sejak 20 tahun, sudah klasik. Tiada pembaharuan. Cara berpolitik pun masih cara sama. 

“Sebab itu saya percaya PN adalah pencabar utama kepada BN dan alternatif kepada PH kerana gabungan ini memiliki pemimpin baharu dan muda. 

“Namun, jika Umno menggunakan formula seperti di PRN Melaka iaitu mengemukakan calon muda dan muka baharu, saya percaya Umno dan BN dapat menawan PRN Johor dengan cemerlang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here