AKTIVIS dan pereka grafik, Fahmi Reza, yang kini disiasat berhubung suntingan imej seakan jata Negeri Pahang, dengan perkataan ‘House of Balak’ berkongsi soalan soal siasat polis berhubung kes berkenaan di laman sosialnya.
Beliau turut mengaku belum memadam hantaran imej suntingan berkenaan sama ada di laman Facebook atau Twitternya serta memaklumkan tiada permohonan maaf dibuat berhubung perkara itu.
“Polis tanya aku 20 soalan semasa sesi soal siasat kes House of Balak tadi (semalam). Ini dua soalan terakhir yang polis tanya.
Polis: Adakah kamu sudah memadam hantaran “House Of Balak” ini dari Facebook kamu? Me: Nope, belum padam. Masih ada lagi.
“Polis: Adakah kamu ada membuat permohonan maaf di mana-mana media massa berhubung dengan hantaran “House Of Balak” ini? Me: Nope. Tiada permohonan maaf,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Fahmi dilaporkan menyunting imej berkenaan dan memuatnaik di laman sosial miliknya pada 3 Januari lalu.
Susulan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, semalam berkata Fahmi dipanggil ke pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
“Pada masa ini pihak USJT sedang menjalankan siasatan berhubung hantaran berkenaan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.
Sementara itu, Fahmi dilihat turut memuat naik gambar di depan pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas selesai memberi keterangan berhubung kes berkenaan, semalam.
“Selesai disoal siasat polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk jenayah melukis grafik satira House of Balak. Kes pertama tahun 2022.
“Kepada pihak polis, kita jumpa lagi next time. Apa-apa roger,” katanya. – Malaysiapost

