Tak logik Pas mahu bertanding lebih 4 kerusi – Khaled

0
1

UMNO tidak nampak di mana logiknya Pas mahu semua kerusi yang Barisan Nasional (BN) tewas pada dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Pas minta bertanding di semua kerusi berkenaan berbanding empat kerusi yang ditawarkan Umno jika mahu bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

“Seingat saya, semua kerusi yang BN kalah pada PRU-14, Pas juga bertanding, Pas pun kalah. Kesemuanya Pas kalah pada BN. Jadi apa logik yang dipakai tuntut kerusi tersebut.

“Pas bertanding di 40 kerusi, semua kalah kepada Umno (berdasar kiraan undi siapa tinggi) kecuali satu di DUN (Dewan Undangan Negeri) Bukit Pasir,” katanya dipetik FMT.

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan tawaran Umno itu ‘bukan cara yang baik’ dengan Pas yang hanya ditawarkan empat kerusi oleh Umno untuk bekerjasama dalam PRN Johor.

Pada PRU-14, BN tewas 19 kerusi termasuk di kawasan yang dianggap kubu kuat mereka kepada Pakatan Harapan (PH) yang kemudiannya membentuk kerajaan negeri sebelum dijatuhkan pada penghujung Februari 2020.

Pas pula yang ketika itu bergerak secara solo meletakkan calon di 40 kerusi pada PRU-14 namun hanya memenangi satu daripadanya iaitu DUN Bukit Pasir

Memetik laporan Malaysiakini, Pas pada mulanya berhasrat untuk meletakkan calon mereka di semua kerusi yang gagal ditawan BN dalam PRU-14 lalu namun mereka kemudian hanya ditawarkan empat.

Tuan Ibrahim berkata, cadangan tersebut dibawa kepada Umno dengan matlamat mahu mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang sebelum ini mempertemukan kedua-dua parti ketika mereka masih pembangkang.

Jelas Tuan Ibrahim, formula yang dibawa Pas itu dikemukakan dengan matlamat mahu menghalang PH kembali berkuasa di Johor.

Bagaimanapun, katanya, apabila cadangan Pas tidak diterima, rundingan dengan BN akhirnya gagal mencapai titik persefahaman. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here