Polis berkas lelaki samun, tikam pemandu e-hailing

0
1

SEORANG pemandu e-Hailing cedera akibat ditikam dengan pisau oleh seorang penumpang lelaki yang bertindak menyamunnya di tepi Jalan Sentul Pasar, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian itu pada jam 2.08 petang pada hari yang sama daripada pemandu berkenaan yang mendakwa keretanya telah dilarikan suspek.

“Hasil siasatan mendapati, mangsa yang berumur 47 tahun telah mengambil suspek di Putrajaya.

“Setibanya di tempat kejadian, mangsa memberitahu suspek jumlah tambang yang perlu dibayar, namun lelaki itu meminta nombor akaun milik mangsa kerana mahu membuat pembayaran tambang secara dalam talian.

“Ketika mangsa sedang mencari nombor akaun miliknya, secara tiba-tiba suspek bertindak menikam leher mangsa menggunakan objek tajam (pisau) pada bahagian leher,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Eng Lai menjelaskan, suspek juga bertindak menarik mangsa keluar dari kereta dan melarikan kereta Proton Saga warna kelabu dan beberapa barangan peribadi miliknya yang tertinggal di dalam kereta tersebut.

“Mangsa kemudiannya dibantu orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Eng Lai berkata, bertindak atas maklumat itu, polis berjaya memberkas seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun kira-kira jam 12 tengah hari di Kota Damansara, hari ini yang disyaki terlibat dalam kes samun tersebut.

“Kita turut merampas kereta yang telah dilarikan suspek dan beberapa barangan termasuk sebilah pisau dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa semasa kejadian, beg silang, kunci kereta, lesen memandu, passport serta kad perlantikan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) milik mangsa dan beberapa keping kad bank.

Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here