BG Capital Holdings sebuah syarikat kawalan keselamatan melancarkan sebuah buku untuk berkongsi strategi keusahawan kepada usahawan industri kecil dan sederhana.
Buku keusahawan bertajuk ‘Growing A Sustainable Family Business.Our First 30 Years’ dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-30 syarikat itu, baru- baru ini.
Buku berkenaan ditulis Pengarah Urusan Kumpulan, Saliza Abdullah yang turut berkongsi pengalaman membina perusahaan mereka yang kini diterajui 100 peratus usahawan wanita sehingga generasi ketiga.

“Buku ini juga memberi penekanan kepada aspek nilai dan strategi yang perlu ada pada usahawan dan perusahaan kecil sederhana untuk mengekalkan kelangsungan perusahaan keluarga secara sistematik.
“Sejak pelancaran buku ini November tahun lalu, sebanyak 1,680 naskah dijual menerusi webstore syarikat,” katanya.
Beliau berkata, hasil daripada jualan buku juga disalurkan kepada Tabung Kebajikan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM),berjumlah RM3,000.
“Sementara it, ANSARA Malaysia menerima sumbangan dalam bentuk165 naskah buku bernilai RM9,900, yang akan diedarkan kepada 55 perpustakaan Maktab Rendah Sains MARA di seluruh Malaysia.
“Sebanyak 50 naskah buku bernilai RM3,000 juga disumbangkan kepada Universiti Multimedia,” katanya.
Terdahulu, majlis makan malam itu dihadiri seramai 230 tetamu terdiri daripada pelanggan, rakan strategik, warga kerja syarikat dan ahli keluarga.
Pada majlis itu, syarikat berkenaan turut menyampaikan cenderahati penghargaan kepada Rakan Strategik Platinum Wasiyyah Shoppe Berhad dan Rakan Strategik Teknologi HAUZ Enterprise Sdn Bhd.
Turut diraikan kakitangan bagi lima kategori anugerah atas kesetiaan dan khidmat cemerlang mereka kepada syarikat.
Majlis bersejarah it turut dimeriahkan dengan persembahan daripada artis, Datuk Nora Ariffin. – Malaysiapost

